Masalah
sosial yang berlaku dalam kalangan remaja pada hari ini perlu ditangani dengan
segera. Penawar mujarab bagi mengubati penyakit sosial ini perlu dicari agar
penyakit ini tidak terus merebak. Namun, apakah jalan penyelesaian terbaiknya?
Sebenarnya,
jalan yang terbaik untuk menangani masalah ini ialah dengan cara mengambil
langkah-langkah pencegahan awal. Bukankah kita sedia maklum bahawa mencegah
adalah lebih baik daripada mengubati? Oleh itu, semua pihak yang terlibat seperti
ibu bapa, guru-guru, kerajaan dan pihak swasta perlu membuka mata dan segera
mengambil langkah proaktif bagi mengatasi masalah ini.
Bagi ibu
bapa, mereka harus sedar bahawa anak-anak remaja memerlukan perhatian dan kasih
sayang yang sewajarnya. Hal ini amat penting kerana keluarga yang harmoni akan
membentuk jiwa remaja yang sihat. Pergaulan yang baik dan suasana berkasih
sayang yang wujud dalam keluarga akan melahirkan sifat yang mulia dalam diri
remaja. Berbekalkan sifat-sifat yang mulia ini serta didikan agama yang
mencukupi, para remaja akan menjauhkan dirinya daripada aktiviti yang tidak
bermoral.
Selain
itu, para guru juga perlu memainkan peranan dalam memberikan kesedaran kepada
golongan remaja. Selain menitikberatkan soal akademik, guru juga perlu
memikirkan cara untuk membentuk sahsiah remaja. Mereka perlu menunjukkan
perwatakan yang terpuji dan contoh untuk diteladani. Janganlah pula berkelakuan
seperti ketam mengajar anaknya berjalan betul.
Seterusnya,
pihak kerajaan dan swasta perlulah mengambil inisiatif dengan mengadakan
pelbagai program yang dapat memberikan kesedaran kepada para remaja. Pihak
media massa, baik media cetak mahupun media elektronik pula, perlu lebih bertanggungjawab
ke arah pembinaan remaja yang berakhlak. Penerapan nilai murni perlulah
dititikberatkan dalam setiap laporan, rancangan atau siaran media mereka.
Kesimpulannya,
masalah sosial remaja ini mampu ditangani andainya semua pihak berganding bahu menjalankan
tanggungjawab masing-masing. Moga-moga dengan segala usaha yang
dijalankan,masalah yang kian meruncing ini dapat ditangani dengan segera.
Sumber buku teks Bahasa Melayu muka surat 26 - 27